1. Menjaga Keselamatan Agama
Agama memisah kualiti sebenar seorang muslim dan amat berkait rapat dengan aspek akidah. Dalam konteks organisasi, aspek keagamaan perlu dititikberatkan. Kegiatan yang dilaksanakan hendaklah dijaga agar tidak bercanggah dengan ajaran yang berteraskan fahaman tauhid serta tidak menggugat akidah yang dianuti seseorang.
2. Menjaga Keselamatan Jiwa (Nyawa)
Salah satu tujuan atau Maqasid Syariah ialah menjaga dan memelihara jiwa serta tubuh badan manusia. Hal ini mewajibkan seseorang memelihara nyawanya dan nyawa orang lain sejajar dengan firman Allah SWT iaitu:
" Dengan sebab (kisah pembunuh kejam) yang demikian itu, kami tetapkan atas Bani Israel, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakkan di muka bumi, maka dia seolah-olah membunuh manusia semuanya, dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. "
(Surah Al-Maidah 5:32)
3. Menjaga Keselamatan Akal
Akal dan pemikiran perlu dijaga kerana merupakan anugerah Allah SWT yang paling berharga kepada manusia. Akal pemikiran juga merupakan keistimewaan daripada Allah yang membezakan manusia berbanding dengan mahluk yang lain. Akal bukan sahaja perlu dijaga, tetapi perlu disuburkan fungsinya demi kebaikkan umat sejagat. Segala unsur yang boleh merosakkan akal adalah dilarang termasuklah meminum arak, mengambil dadah serta memikirkan perkara yang tidak terjangkau oleh akal manusia. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
" Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. "
(Surah Al-Maidah 5:90)
4. Menjaga Kesalamatan Maruah dan Keturunan
Memelihara maruah dan keturunan merupakan salah satu matlamat syariah. Oleh demikian, segala bentuk yang boleh membawa kepada pencabulan maruah dan keturunan adalah dilarang sama sekali. Ini sejajar dengan firman Allah SWT:
" Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (Yang membawa kerosakkan) "
(Surah Al-Isra' 17:32)
5. Menjaga Keselamatan Harta
Menjaga dan memiliki harta merupakan salah satu tujuan atau maqasid syariah. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman:
" Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yeng mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pecegah dari Allah SWT, dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. "
(Surah Al-Maidah 5:38)