Allah berfirman dalam surah Al-Nahl yang bermaksud:
" Janganlah kamu sembah dua Tuhan. Hanya Dia Tuhan yang Esa, sebab itu takutlah kamu kepada-Ku. Allah memiliki apa-apa yang di langit dan di bumi dan kepadaNya (hendaklah) kamu patuh selama-lamanya. Adakah kamu takut kepada yang lain daripada Allah SWT "
(Surah Al-Nahl 16:51-52)
Setiap manusia merupakan khalifah yang dilantik oleh Allah SWT untuk memakmurkan muka bumi. Ahmad Ibrahim Abu Sin berpendapat bahawa Islam telah meletakkan garis panduan bagi seorang pemimpin, pengurus, pentadbir yang diamanahkan oleh Allah SWT untuk memahami konsep Ubudiyyah yang berikut.
- Allah SWT tidak meredhai hambaNya yang bersikap menjauhi kemewahan dunia dengan mengurung diri di dalam rumah-rumah ibadat seperti masjid atau surau semata-mata untuk beribadat sedangkan manusia boleh beribadat dimana sahaja sama ada di kebun atau di tempat-tempat perniagaan.
- Hubungan manusia dengan Allah SWT adalah berasaskan satu perjanjian atau kesanggupan yang azali. Manusia telah mengakui ketuhanan Allah SWT serta menyatakan kesanggupan untuk mengabdikan diri semata-mata kepadanya.
Dalam konteks organisasi konsep ubudiyyah bukan sahaja dapat mencorakkan pembentukkan individu malah dapat membentuk hala tuju serta budaya organisasi tersebut. Antara perkara yang penting yang berkaitan ubudiyyah serta hubungannya dengan organisasi adalah seperti berikut (Rasid et al.,2008):
- Matlamat atau hala tuju organisasi perlu seiring dengan konsep pengabdian diri kepada Allah SWT.
- Cara, kaedah, atau kegiatan yang dilaksanakan untuk mencapai matlamat organisasi juga perlu seiring dengan konsep ubudiyyah kepada Allah SWT.
- Budaya yang wujud dan subur dalam organisasi perlu didorong dengan semangat pengabdian diri kepada Allah SWT.
Konsep ubudiyyah jika difahami dan dihayati dengan baik, maka elemen ini mampu memberi kesan positif pada pembentukkan watak dan budaya organisasi yang diwujudkan. Antara perkara penting dalam hubungan termasuklah yang berikut:
- Warga organisasi akan mengaitkan segala kegiatan dalam organisasi dalam agama.
- Organisasi akan berusaha untuk menjadikan setiap kegiatan dalam organisasi sebagai suatu ibadat, iaitu dengan menjaga adab dan syarat-syaratnya.
- Budaya yang wujud dalam organisasi menjadi suatu yang positif sejajar dengan prinsip agama.
- Agama menjadi unsur utama dalam menentukan tindak-tanduk dan kegiatan organisasi.